BEN ASHAARI

Sunday, September 30, 2007

BISKUT OLE - SAYANG


Resipi entah dari mana mat dapat, sebab dah lama sangat tersimpan, mat ubah suai sedikit dari resipi asal untuk meningkatkan mutu dan rasa serta kenikmatan masa mengunyah dalam mulut...jom kita tengok sama2....

Bahan A:-
165 g mentega
90 g gula aising
1 camca teh minyak sapi
1 kuning telur

Bahan B:-
120 g tepung kacang hijau*'
140 g tepung naik sendiri (self-raising flour)*
80 g tepung gandum*
1/2 camca teh sodium bicarbonate*(*digaul dan diayak)
50 g Hazelnut, dikisar halus

Bahan Hiasan:-
Kuning telur untuk sapuan
Bijan secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. Pukul mentega, gula aising dan kuning telur hingga berkrim. Masukkan minyak sapi dan terus memukul hingga rata. Tidak perlu terlalu kembang, cukup sekadar adunan putih sedikit.
  2. Satukan kisaran kacang hazel tadi dengan tepung yang telah diayak, gaul rata. Gunakan speed perlahan, masukkan campuran tepung tadi ke dalam adunan no. 1, sedikit demi sedikit hingga habis. Adunan akan bertukar kepala doh yang kelihatan sedikit kering.
  3. Kepal2 adunan dan tutup dengan tuala lembap. Ambil sebahagian doh tadi dan canai 1/2 cm tebal. Terap dengan acuan kegemaran dan susun atas dulang pembakar, sapu kuning telur dan tabur sedikit bijan. Bakar dalam oven pada suhu 150C selama 12 - 15 minit. Sejukkan atas jaringan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.....

Saturday, September 29, 2007

ROSE TART


"Rose Tart"...resipi unik dari MamaFami...mat dah lama perhatikan resipi ni, dari awal tahun dulu, angan2 nak buat tu dah lama, nampak macam senang je, tapi bila dah buat baru tau "kerumitannya"...kata mamafami sepatah .."So for those who have the patience and passion...go for it!!!......untuk teknik yang lebih lengkap, boleh rujuk disini...

Bahan-Bahannya:-
3/4 cawan gula aising
1/2 cawan margerine
1/2 cawan mentega (resipi asal semua guna margerine)
1 cawan tepung jagung (cornstarch)
1 kuning telur
1/2 camca teh esen vanilla (resipi asal tak bubuh)
Tepung gandum secukupnya (kurang lebih 1 3/4 cawan)
Jam strawberry atau raspberry secukupnya
Paper cup saiz kecil secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. Pukul mentega, margerine dan gula aising hingga bersatu, masukkan kuning telur dan esen vanilla, pukul hingga berkrim. Masukkan tepung jagung dan gaul hingga sebati.
  2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh yang lembut. Canai doh kurang lebih 1/2 cm tebal. Terap dengan acuan bulat berbiku.
  3. Sapu dengan sedikit jam strawberry/raspberry pada permukaan doh yang diterap tadi. Lipat dua setiap doh dan buat macam huruf "U", setiap doh tadi dan cantumkan, kemaskan dan alihkan ke paper cup. Buat hingga siap.
  4. Bakar dalam oven pada suhu 150C selama 10 - 15 minit. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara. Menghasilkan kurang lebih 40 kuntum rose tart.

Friday, September 28, 2007

BISKUT BADAM RANGUP

Hari ke-2 buat kuih raya, rasa seronoknyaaa.....walaupun sedikit mencabar dengan cuaca panas, dan tekak mula kering dan sakit. Bibir dah mula mengelupas..aduhh, tak pa kuih raya punya pasal itu semua tolak tepi dulu....jemput lah tengok yeaa....

Bahan-Bahannya:-
150 g mentega
125 g gula aising
1 biji telur gred A (berat kurang lebih 60 g sebiji)
1/2 camca teh esen vanilla
100 g tepung gandum*
100 g tepung kastard*
75 g tepung jagung (cornstarch)*(*disatukan dan diayak)
50 g serbuk badam
50 g tepung gandum (extra)

Untuk Hiasan:-
1 kuning telur
Badam cincang secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. Pukul mentega dan gula aising hingga berkrim. Masukkan telur dan esen vanilla. Terus memukul hingga gebu.
  2. Sementara itu gaul serbuk badam bersama tepung yang telah diayak, kemudian masukkan tepung tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan mentega, gunakan speed perlahan. Jika adunan kelihatan terlalu lembik, masukkan sedikit lagi tepung (50 g, extra), hingga adunan tidak melekit.
  3. Ambil 1/3 doh tadi dan canai 1/2 cm tebal, terap dengan acuan kegemaran dan susun atas dulang pembakar, sapu kuning telur dan tabur badam cincang, tekan sedikit supaya badam melekat. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 150C selama 10 - 12 minit. Sejukkan atas jaringan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara...

AYAM GORENG GAJUS


Dalam freezer ada baki 2 keping dada ayam, jadi teringin nak cuba masak ala2 chinese, gajus beli hari tu pun ada...jadi pakcik pun masak leer ayam goreng gajus....

Bahan Utama:-
2 keping dada, dihiris panjang*
1/2 camca teh serbuk lada hitam*(*satukan dan perap 15 minit)
1/2 cawam gajus, goreng hingga kuning
5 kuntum cendawan butang, dihiris
2 batang saleri, potong dadu
1 batang leek, potong serong
1 biji bawang besar, potong baji
2 ulas bawang putih, hiris halus
5 tangkai cili kering, hiris halus, cuci dan keringkan
1 camca teh minyak bijan

Bahan Sos:-
2 camca besar Hoisen sos
2 camca besar sos tiram
1 camca besar sos cili
1 camca teh kicap pekat
1 camca besar kicap cair
2 camca besar cuka epal (cider vinegar)

Cara membutanya:-
  1. Panaskan minyak dalam kuali (kurang lebih 3 camca besar) hingga panas, masukkan cili kering dan goreng hingga garing, masukkan daging ayam yang diperap tadi dan kacau goreng 5 minit hingga ayam 1/2 masak. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Dalam kuali sama tuang 2 camca besar minyak dan minyak bijan. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan leek, saleri dan cendawan, kacau goreng hingga harum. Masukkan bawang besar dan bahan2 sos. Kacau hingga sebati. Gunakan api perlahan.
  3. Masuk daging ayam tadi dan gaul hingga rata dan masak hingga kuah pekat. Rasa garamnya sebelum diangkat dan hidangkan bersama nasi panas atau bubur nasi....

Thursday, September 27, 2007

BISKUT KELAPA DELIMA


Sejak dari dulu2 lagi sebelum mat dilahirkan, setiap hari raya, bonda mat akan buat biskut ni, kira biskut "wajib" keluarga kami...sekarang tugas tu mat dah ambil alih....jadi bila pakcik sorang ni dah ambil alih, gaya bentuk dan rupa paras mesti leer berubah walau pun masih mengekalkan resipi asal....selamat mencuba semua!!!

Bahan Utama:-
225 g tepung jagung (cornstarch)"Brown & Polson"*
150 g tepung gandum*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
125 g gula aising
75 g kelapa kering, kisar halus
25 g serbuk badam
1 biji telur gred A (berat kurang lebih 60g sebiji)
1/2 camca teh esev vanilla
155 g mentega

Untuk Hiasan:-
Ceri merah, dipotong kecil
Kelapa kering
1 kuning telur, untuk disapu

Cara membuatnya:-
  1. Serbuk badam dan kelapa yang dikisar halus tadi digaul bersama2 tepung yang telah diayak. Ketepikan.
  2. Dalam mixing bowl, masukkan telur, gula aising dan esen vanilla, pukul hingga berkrim. Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Peringkat ini adunan akan menjadi seakan2 serbuk roti.
  3. Perlahankan speed, dan masukkan mentega sedikit demi sedikit ke dalam adunan tadi hingga adunan bertukar menjadi doh yang lembut dan boleh dicanai. Keluarkan doh dari mixer, bulat2kan dan tutup dengan tuala lembap.
  4. Bahagikan doh tadi kepala 3 bahagian. Ambil satu bahagian dan canai diantara dua helai plastik menggunakan torak (alat penggelek) setebal 1/2 cm, terap ikut acuan kegemaran dan alihkan ke dulang pembakar. Buat hingga siap.
  5. Sapu kuning telur, hias ceri potong dan tabur sedikit kelapa kering. Bakar pada suhu 150C selamat 10 - 12 minit. Angkat dan alihkan biskut atas jaringan. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara....

BAKE PASTA

Puas juga berfikir, apa nak bagi kat budak2 biar mereka suka makan....jadi mat buat jelah apa yang patut..janji mereka suka, mak budak tu suka dan juga bapak budak tu pun suka...hahahaha...

Bahan Utama:-
1 1/2 cawan pasta (tak kisah guna apa bentuk sekali pun)
1 biji kentang
2 biji tomato

Bahan Lapis:-
8 kuntum cendawan shitake segar, dihiris halus
1 cawan susu segar
2 batang sosej ayam berlada hitam, dipotong bulat
1 biji bawang besar, dadu halus
2 biji bawang putih, cincang halus
2 helai bay leaf
1 batang saleri, hiris halus
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Sedikit garam

Bahan Lain:-
3 biji telur
1/2 cawan susu segar
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Keju mozarella secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. Rebus pasta hingga lembut. Angkat, toskan dan gaul dengan sedikit mentega. Kentang dikupas dan hiris nipis, celur hingga lembut dan toskan. Tomato dihiris bulat. Ketepikan.
  2. UNTUK LAPISAN:- Dalam kuali, panaskan 2 camca besar mentega hingga cair. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan bay leaf, sosej dan cendawan, goreng hingga wangi. Tuang susu dan masukkan sebuk lada hitam dan garam. Masak hingga pekat. Angkat dan sejukkan.
  3. PENYEDIAN BAKE PASTA:- Lenser acuan dengan mentega. Masukkan separuh pasta tadi dan lapis dengan separuh bahan2 lapis. Susun kentang dan tomato, tabur sedikit keju kemudian tuang baki pasta diikuti baki bahan lapisan. Kemudian, bancuh 3 biji telur, susu segar dan serbuk lada hitam hingga rata menggunakan garfu, lepas tu tuang dalam acuan berisi pasta tadi. Susun baki kentang, tomato dan tabur baki keju. Bakar 30 minit dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C.
  4. Biar sejuk sedikit, keluarkan dari acuan dan boleh dihidangkan bersama cili sos atau mayonies..

IKAN PARI GORENG BERLADA


Dah beberapa hari ni tekak sakit dan mula rasa tak selesa, tapi masih nak juga makan yg sedikit pedas dan berapi, nak masak asam pedas macam dah jemu, jadi masak berlada kira ok jugak laa...hmm sedap pakcik suka benda2 macam ni....

Bahan Utama:-
10 ketul isi ikan pari
1 batang serai, dititik
3 biji limau kasturi
1 biji tomato, untuk hiasan

Bahan Tumbuk:-
4 biji cili merah
5 biji cili padi
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit
1/2 inci belacan
1 camca teh gula
1/2 camca teh garam

Cara membuatnya:-
  1. Ikan pari dicuci dengan asam limau dan garam, perap 10 minit, bilas dan gaul dengan kunyit dan sedikit garam. Goreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan.
  2. Dalam kuali yang sama, ceduk keluar minyak hingga tinggal 3 camca besar. Masukkan serai dan bahan tumbuk tadi, goreng hingga wangi dan terbit minyak. Masukkan ikan pari dan gaul rata. Perahkan jus limau kasturi dan gaul hingga rasa sebati.
  3. Angkat dan hias dengan hirisan tomato. Boleh dihidangkan bersama nasi hangat beserta ulam-ulaman yang digemari...

ACAR SENGKUANG

Kesian mat tengok sengkuang tinggal sebiji, baki buat pecal hari tu, tergolek je kesepian kat tepi tingkap. Jadi apa kata kita make-over kan dia jadi 'acar'...hehehe..

Bahan Utama:-
1 biji sengkuang sederhana besar
2 biji lada merah, buang biji potong dan dihiris
15 biji telur puyuh, rebus dan kupas kulitnya
1 biji bawang besar, potong baji
5 ulas bawang putih, belah dua
1 inci halia, hiris halus
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, tumbuk kasar
4 camca besar gula
1 camca teh garam
1 camca besar rempah kari
1/3 cawan cuka makan
2 camca besar sos tomato

Rempah Tumis:-
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Cara membuatnya:-
  1. Sengkuang, dikupas, potong sederhana nipis dan potong macam batang mancis, redam 15 minit. Toskan.
  2. Dalam kuali, panaskan 3 camca besar minyak masak. Masukkan rempah tumis, bawang putih, halia dan udang kering, kacau hingga wangi, tuang sos tomato dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan rempah kari, goreng sekejap dan tuang cuka makan. Tambah garam dan gula. Biar mendidih.
  3. Kemudian masukkan belahan bawang besar, telur puyuh dan cili merah, gaul hingga rata. Akhir sekali masukkan sengkuang dan masak hingga sengkuang lembut sedikit tapi masih rangup. Rasa acar jika cukup masin, manis dan masam bolehlah diangkat.

Wednesday, September 26, 2007

DAGING GORENG SIAM



Resipi yang ni, tak de apa nak cerita sebab idea pun tak tau dari mana datang, mungkin hasil dari pemerhatian dari "dapur" ke "dapur" teman2 cyber yang semua pakar memasak dan menilai makanan....kita tengok jelah yeaaa....

Bahan Utama:-
2 keping daging steak, dipotong memanjang*
1 camca teh serbuk lada hitam*(*diperap 15 minit)
10 kuntum cendawan shitake segar, dihiris halus
2 batang saleri, dipotong serong
1 batang leek, dipotong bulat
1 biji bawang besar, potong berbaji
1 inci halia, hiris nipis
2 ulas bawang putih, hiris nipis
10 biji cili padi, diketuk
1 batang serai, diketuk
2 helai daun limau purut

Bahan Sos:-
3 camca besar sos ikan
1 camca besar sos tiram
2 camca besar madu
3 camca besar jus limau kasturi/lemon

Cara membuatnya:-
  1. Panaskan minyak dalam kuali (kurang lebih 2 camca besar). Tumis bawang putih dan halia, masukkan daging dan goreng hingga daging lembut. Masukkan serai dan terus menggoreng hingga daging sedikit garing diikuti cendawan shitake, masak hingga cendawan lembut. Tambah sedikit air jika perlu.
  2. Masukkan bahan2 sos kecuali jus limau. Kacau rata dan masukkan semua jenis sayur. Masak hingga sayur lembut sedikit.
  3. Akhir sekali masukkan daun limau purut dan jus limau. Biar masak 1 - 2 minit. Rasa garamnya. Perlu ada, masin, manis, masam dan pedas. Boleh diangkat dan hidangkan bersama nasi panas....

SANDWICH GORENG


Idea ni datang lepas mat buat sosej roll hari tu. Terfikir juga macam mana lah hasilnya nanti, tapi anak buah mat yang cuti puasa, semua kata sedap dan macam2 depa puji sebab nak lagi...ini bermakna hasilnya tidak lah mengecewakan....mari lah ramai2 kita cuba ok!!!

Bahan Utama:-
12 keping roti Gardenia (jenama lain pun ok)
1 camca besar tepung gandum*
2 1/2 camca besar air*(*satukan dan jadikan pes)
2 biji telur
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Minyak untuk menggoreng

Bahan Inti:-
2 biji kentang, kupas dan potong dadu kecil2
1/2 batang lobak merah, kupas dan potong dadu kecil2
1/2 biji bawang besar, cincang halus
1 ulas bawang putih, cincang halus
1/4 camca teh serbuk lada hitam
2 camca besar mayonies
1 1/2 camca besar sos cili
1 tin tuna, toskan minyak/airnya

Cara membuatnya:-
  1. UNTUK INTI:- Rebus kentang dan lobak merah dengan 1/2 camca teh garam hingga empuk. Angkat dan toskan. Kemudian gaulkan dengan semua bahan lain untuk inti hingga rata dan mesra. Ketepikan.
  2. UNTUK SANDWICH:- Leperkan setiap keping roti dengan torak. Ambil sekeping roti, isi inti (kurang lebih 1 camca besar) dan sapu dengan pes tepung disekeliling bahagian tepi roti, lipat hingga menjadi 3 segi. Tekan2 tepinya untuk merapatkan roti tadi supaya inti tidak terkeluar. Boleh dipotong sedikit lebihan roti tadi dengan pisau atau alat pemotong agar2 yang berbentuk zig-zag. Buat hingga siap.
  3. Panaskan minyak dalam kuali (guna frying pan boleh goreng banyak sikit). Pecahkan telur dalam bekas, campur serbuk lada hitam dan kacau dengan wisk/garfu hingga rata. Celup sekeping sandwich tadi dan goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan atas paper towel. Buat hingga habis dan boleh dihidangkan.

Monday, September 24, 2007

BUBUR PULUT HITAM


Tiba2, bonda mat nak makan bubur pulut hitam, jadi benda pun dah ada, tinggal buat je, apa salahnya buatkan untuk bonda tersayang, tanpa dia sapa lah kita...kalau dah buat tu bukan sorang je yang makan, semua menepek sama makan...hehehe...

Bahan-Bahannya:-
2 cawan pulut hitam, cuci dan rendam 3 - 4 jam
1 biji kelapa parut
2 1/2 cawan gula pasir
2 helai daun pandan, disimpul
Secubit garam

Cara membuatnya:-
  1. Rebus pulut hitam dengan air yang banyak hingga betul2 kembang. (mat guna pressure cooker je, ambil masa dalam 20 minit untuk kembang).
  2. Tuang 3/4 cawan air dalam kelapa parut, ramas dan perah untuk santan pekat. Asingkan. Tuang pula 800ml air dan ramas, perah untuk santan cair.
  3. Bila pulut hitam tadi kembang, tuang santan cair. Masukkan gula, daun pandan dan garam, masak hingga mendidih sambil terus dikacau hingga masak.
  4. UNTUK MENGHIDANG:- Ceduk bubur pulut hitam dalam mangkuk, kemudian tuang satu camca besar pati santan sebelum menghidang.....selamat mencuba!!!

PRATA PUFF


Parat Puff ni macam dah "biasa" di kalangan blogger yang mempunyai blog perihal masak2 dan bagi mereka yang rajin mencuba resipi baru, tapi bagi mat benda nie dalam kategori bari juga, sebab baru2 ni aje mat terjumpa instant prata yang masih mentah, selalunya jumpa yang dah separuh masak, depa bekukan...so hari ini, untuk berbuka dan bertukar2 juadah dengan jiran, mat buat prata puff....

Bahan Utama:-
5 keping instant prata (apa2 jenama)
1 kuning telur

Bahan Inti:-
2 biji kentang, dikupas, dan didadu
3 kuntum cendawan butang, didadu
1/2 cawan daging lembu/ayam, dipotong kecil2*
1/2 camca teh serbuk lada hitam*(*disatukan dan perap 10 minit)
1/2 cawan susu/santan
2 camca teh serbuk kari daging
1 camca teh kicap cair
1 camca teh gula
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, dihiris halus
1 inci halia, dicincang halus

Cara membuatnya:-
  1. UNTUK INTI:- Panaskan 2 camca besar minyak, tumis halia dan bawang putih hingga harum, masukkan cendawan dan goreng hingga wangi. Masukkan bawang besar dan serbuk kari. Kacau rata.
  2. Masukkan daging dan sedikit air, masak hingga daging empuk dan masukkan kentang dan santan/susu. Bila mendidih, perasakan dengan gula dan kicap cair. Masak hingga kentang empuk dan inti kering tapi masih lembap.
  3. PENYEDIAAN PRATA PUFF:- Ambil sekeping instant prata, belah dua, isi inti pada satu bahagian dan lipat. Ianya akan berbentuk 3 segi. Tekan dengan garfu bahagian yang terbuka dan alih ke dalam dulang yang telah disapu dengan sedikit mentega. Buat hingga siap dan sapu permukaan prata puff dengan kuning telur dan bakar pada suhu 175C, selama 20 - 25 minit. Menghasilkan 10 ketul prata puff.

BANGKIT NYONYA



Hari ni mat saja nak mencuba resipi bangkit nyonya hasil sumbangan "Diana"....mudah dan senang...cuma mat ada tambah sikittt je lagi benda dalam tu...apa2 pun jom kita bakar kuih bangkit!!!..

Bahan-Bahannya:-
350 g tepung sagu ubi
3 helai daun pandan, dipotong2
150 g gula aising, diayak
20 g mentega
1 kuning telur
130 g pati santan (perah tanpa menggunakan air atau guna santan kotak)
50 g pati santan (untuk kegunaan lain)
Secubit baking powder


Cara membuatnya:-
  1. Tepung ubi disangai dalam kuali bersama2 daun pandan hingga ringan dan wangi, gunakan api perlahan selama 10 minit. Biarkan sejuk, kemudian ayak bersama baking powder. Ketepikan.
  2. Dalam satu bekas, satukan gula aising, kuning telur dan pati santan, kacau menggunakan wisk hingga berkrim. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan senduk atau tangan. Masukkan tepung hingga habis dan bancuh hingga menjadi doh.
  3. Tutup doh dengan kain lembap. Bagi doh tapi kepada 3 - 4 bahagian. Ambil satu bahagian, canai setebal 0.5 cm dan terap mengikut acuan kegemaran. Boleh juga disepit untuk membuat corak. Susun dalam dulang dan bakar pada suhu 150C selama 10 - 12 minit. Kepanasan bergantung pada oven masing2.
  4. Untuk adunan seterusnya, jika diuli ianya agak keras, boleh tambah 1 camca teh santan pekat (dari 50 g yang diasingkan tadi)
  5. Sejukkan kuih bangkit atas redai sebelum disimpan dalam bekas kedap udara. Boleh juga membentuk kuih bangkit menggunakan acuan"putu kacang".

Sunday, September 23, 2007

IKAN TIGA RASA


Hari ni tekak macam teragak nak makan ikan bawal..tau saja lah ikan bawal ni kan daging dia tawar tak dak rasa. Selain masak kicap, kari, sambal dan sweet sour apa lagi yang sesuai (ke pakcik yang tak tau?). Puas belek ikan tu, cuci, siang dan sempat "berbual" dengan ikan bawal tu. Apa nak buat dengn kau nie biar jadi sedap?...hahaha..terus teringat masak tiga rasa..ok juga kan...Moh leer kita masak sama2, makan sama2 dan kenyang sama2 yeaa....

Bahan Utama:-
2 ekor ikan bawal hitam sederhana besar
1 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh garam
4 batang puting jagung, hiris serong
1/4 ketul bunga kobis, potong kecil
1 batang lada merah, hiris kasar
1 batang saleri, hiris serong
1 biji tomato, potong 6
1 camca besar gula

Bahan Tumis:-
1 biji bawang besar, potong berbaji
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 inci halia, diketuk
1 camca besar cili kisar

Bahan Sos:-
2 camca besar sos tiram
2 camca besar sos tomato
1 1/2 camca besar sos cili
1 camca besar kicap cair

Cara membuatnya:-
  1. Siang ikan bawal, cuci bersih dan lumur dengan serbuk kunyit dan garam kemudian goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Dalam kuali yang sama, ceduk keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 3 camca besar. Masukkan bahan2 tumis dan goreng hingga garing, kemudian masukkan bahan sos kecuali kicap cair. Gaul hingga rata. Masukkan semua jenis sayur dan masak 2 - 3 minit. Masukkan kicap cair dan gula. Kacau rata.
  3. Tambah 3 camca besar air, kacau dan masukkan ikan bawal tadi. Gaul hingga sos mesra dengan ikan. Angkat dan hias ikan dengan daun salad sebelum dihidangkan...

TAUHU SUMBAT



Tuhu sumbat....oleh kerana macam dah tak de idea apa nak buat untuk berbuka....TIBA2!!!..teringat tauhu sumbat...dah lama juga tak buat, lagi pun balance kacang tanah hari tu ada lagi, tinggal tumbuk je bagi halus sikit dah boleh buat sambal kacang...jadi dengan magic nya, maka terhasillah tauhu sumbat...hehehe..

Bahan Utama:-
5 keping tauhu
1/2 cawan parutan lobak merah
1/2 cawan taugeh, dicelur sedikit
1/2 cawan parutan sengkuang
1/2 cawang hirisan halus timun

Bahan Sambal Kacang:-
2 cawan kacang tanah
2 camca besar cili kisar (boleh tambah cili padi kalau suka)
2 1/2 camca besar gula
1/2 cawan jus asam jawa
1/2 camca teh garam
2 camca besar petis
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*(*dikisar halus)

Cara membuatnya:-
  1. TAUHU SUMBAT:- Tauhu digoreng tanpa dipotong hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan, biar sejuk. Kemudian belah tauhu supaya menjadi 3 segi. Buat poket dibahagian belahan tauhu tadi. Kemudian isi kan dengan setiap jenis sayur2an ke dalam poket tauhu tadi. Buat hingga siap dan ketepikan.
  2. SAMBAL KACANG:- Satukan semua bahan2 untuk sambal kacang dan gaul hingga sebati. Rasa masin, manis dan masamnya. Jika ok, boleh dihidangkan bersama tauhu sumbat tadi. Maaf dalam gambar tauhu sumbat tak de timun sebab kehabisan stok...

Saturday, September 22, 2007

PAI TEE



Pai Tee..."Signature Dish" kaum baba dan nyonya peranakan Melaka, Penang dan Singapore. Kaum2 nyonya ni amat cerewet dalam soal2 pembikinan makanan, mereka selalunya berkehendakkan kesempurnaan dalam penghasilan kuih-muih dan rasa yang berkualiti....aduhh lemah lutut kalau tengok style mereka teramat "detail" tuu...Jomlah makan "Pai Tee"...jamin sedap!!!

Bahan Kulit:-
65 g tepung gandum*
50 g tepung beras*(*disatukan dan ayak)
1 biji telur gred A (berat kurang lebih 60g sebiji)
250 ml air
Secubit garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan Inti:-
1 cawan isi ayam, dihiris halus*
1/2 camca teh serbuk lada hitam*
Secubit garam*(*disatukan dan perap 15 minit)
1/2 batang lobak merah, diparut
1/2 biji sengkuah, diparut
1 keping tauhu, dipotong kecil2 dan goreng garing
3 ulas bawang merah, dihiris
1 ulas bawang putih, dicincang halus
1 camca teh sos tiram
1 camca teh kicap cair
Secubit gula

Bahan Hias:-
Hirisan cili merah
Daun salad
Beberapa ekor udang, kupas kulit can celur 3 minit
Sos cili

Cara membuatnya:-
  1. UNTUK KULIT:- Satukan semua adunan untuk kulit pai dan adun dengan wisk hingga sebati. Tapis dan rehatkan 20 minit. Panaskan minyak dan celup acuan "pai tee" ke dalam minyak panas untuk jangka masa 2 minit. Kemudian celup ke dalam adunan tepung hingga hampir2 memenuhi acuan, tapi jgn sampai bahagian atas, angkat acuan tadi dan celup dalam minyak panas tadi, dan biar keras sedikit baru longgarkan bahagian tepi kulit pai hingga terlucut dari acuannya. Goreng kulit hingga garing, angkat dan toskan atas paper towel. Lakukan hingga adunan habis. Biar sejukkan sedikit dan simpan kulit pai dalam bekas kedap udara...
  2. UNTUK INTI:- Dalam kuali, panaskan 2 camca besar minyak. Tumis bawang putih hingga wangi, masukkan ayam dan goreng hingga ayam berubah warna. Masuk sos tiram dan bahan2 lain kecuali kicap cair. Gaul hingga rata. Jika kering masukkan 2 camca besar air. Masak hingga semua masak, rasa jika kurang masin, masukkan kicap cair. Gaul rata, angkat dan sejukkan sebelum diisi dalam pai tee
  3. UNTUK PENYEDIAAN PAI TEE:- Ambil sedikit daun salad, letakkan dalam kulit pai tee tadi dan isi dengan inti hingga penuh. Hias atasnya dengan satu hirisan cili merah dan seekor udang. Makan bersama sos cili. Bila makan masukkan satu pai tee ke dalam mulut dan kunyah untuk menikmati adunan rasa yang unik dan menawan...selamat mencuba.

DALCA


Bila dah ada roti jala, mesti ada bahan pencicihnya...kalau tak roti jala tu ibarat "janda tak berlaki" leer gamaknya...Oleh yang demikian, pakcik ter"rajin" sikit dan memasak dalca ringkas....guna apa saja yang ada dalam peti sejuk....Jom masak sama2!!

Bahan Utama:-
4 keping dada ayam, potong sederhana besar*
1 camca teh serbuk lada hitam*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan diperap)
2 biji kentang,dipotong dadu
1 batang lobak merah, dipotong baji
1/4 ketul bunga kobis, potong kecil
5 tangaki kacang panjang, dikerat 2 inci panjang
1 cawan kacang dhal, rebus 10 minit.
1 biji tomato, belah 4
2 biji cili merah, dibelah dua setiap biji
2 keping asam gelugor
2 camca besar rempah kari daging
1 ketul kiub ayam "MAGGI" (jika suka)
Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)
150 ml pati santan (mat guna santan kotak)
800 ml air

Bahan Kisar:-
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah

Bahan Tumis:-
3 ulas bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
2 tangaki daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Cara membuatnya:-
  1. Dalam periuk, tuang 3/4 cawan minyak masak. Masuk bahan tumis dan tumis hingga harum, kemudian masukkan bahan kisar dan rempah kari daging. Tumis hingga terbit minyak dan naik bau. Masukkan kentang dan lobak merah, gaul rata dan masak 5 minit.
  2. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Masukkan air dan biar mendidih. Masukkan kiub pati ayam (kalau guna) dan asam gelugor. Kemudian masukkan semua jenis sayur dan kacang dhal, kecuali tomato. Masak hingga mendidih.
  3. Akhir sekali tuang pati santan dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa (jika suka). Bila mendidih, masukkan tomato tadi dan biar masak 2 - 3 minit. Rasa kuahnya dan matikan api. Boleh dihidangkan bersama2 roti jala tadi....

ROTI KIRAI @ ROTI JALA


Semalam ronda2 kat blog "kak hani"....terliur pakcik tengok roti jala dengan kuah kari...macam banjir besar roti jala tu dengan kuah. Memandangkan hari ni pakcik cuti, jadi projek seterusnya ialah "Roti Jala" atau "Roti Kirai"....herankan dari mana lah depa dapat nama esotik tu?...

Bahan-Bahannya:-
2 cawan tepung gandum*
1/2 camca teh serbuk penaik*(*disatukan dan ayak)
4 camca besar santan atau susu
1/3 camca teh garam
2 1/2 cawan air
2 camca besar minyak masak
Sedikit pewarna kuning
Minyak untuk menggris kuali

Cara membuatnya:-
  1. Satukan semua bahan2 diatas dan kacau dengan wisk hingga sebati. Tapis adunan dan ketepikan. Biar adunan rehat 20 minit. Atau boleh juga dimasukkan ke dalam alat pengisar dan kisar hingga sebati. Jika adunan kelihatan pekat, tambah sedikit lagi air.
  2. Dalam kuali leper (frying pan), lenser sedikit minyak pada kuali dan biar panas. Ceduk adunan tadi ke dalam alat membuat roti jala dan kirai secara pusingan ke dalam kuali dan pastikan jaluran terbentuk bersambung antara satu sama lain.
  3. Bila roti jala kelihatan pucat. Lipat dua menggunakan sudip dan alihkan ke pinggan, lipat ikut kreativiti masing. Ulang proses yang sama untuk selanjutnya dan buat hingga habis. Hidangkan bersama kuah kari atau dalca.

Friday, September 21, 2007

LENGKONG SIRAP ROSE


Asyik makan agar2/lengkong yang macam2 perisa, sampai terlupa lengkong warisan orang dulu2 yang mudah, ringkas dan sedap tidak memuakkan..dah leer tu berseri dengan warna merah dan bau rose dan pandan yang membangkitkan nostalgia....selamat mencuba!!!!

Bahan-Bahannya:-
25 g agar-agar tali
1 cawan gula pasir
1000ml air
1 camca besar pati sirap rose (mat guna brand double-lion)
2 helai daun pandan. disimpul

Cara membuatnya:-
  1. Agar2 tali dikerat pendek2 dan rendam 10 minit. Kemudian jerang atas api sederhana dan masak bersama daun pandan hingga agar2 hancur. Masukkan gula dan kacau hingga gula larut.
  2. Tuang pati sirap rose dan kacau hingga rata. Angkat dan tapis agar2 tadi. Tuang dalam acuan kegemaran dan biarkan betul2 keras. Keluarkan dan hidang sebagai pencuci mulut. Simpan lebihan lengkong dalam peti sejuk untuk rasa yang lebih nyaman.....hmmmm..

NASI IMPIT GORENG


Untuk mat pulak..jeng..jeng..jeng....nasi impit goreng...dah lama sangat nak buat, tapi belum ter"seru"...baki dari nasi impit soto semalam, mat pun cuba lah buat...eh!! boleh tahan lah rasa dia tidak mengecewakan...dah leer tu mengenyangkan pulak...

Bahan Utama:-
6 ketul nasi impit "NONA" (jenis kecil), didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 camca teh minyak bijan (kalau suka)
2 batang sosej ayam, dipotong kecil
1/2 cawan isi kerang
1/2 cawan isi udang
1/2 cawan potongan capsicum hijau
1/2 cawan potongan capsicum kuning/merah
1/2 cawan potongan bunga kobis
1 batang saleri, dipotong kecil
3 kuntum cendawan butang, dihiris
2 biji telur
2 camca besar cili kisar
1 1/2 camca besar sos tiram
3 - 4 camca besar kicap cair
2 camca besar kicap pekat
Sedikit gula
Sedikit air

Bahan Hiasan:-
Hirisan daun sup/bawang
Bawang goreng
Hirisan cili merah

Cara membuatnya:-
  1. Dalam kuali, panaskan 3 - 4 camca besar minyak + minyak bijan. Tumis cincangan bawang putih dan cendawan hiris hingga wangi. Masukkan cili kisar dan sos tiram, tumis hingga cili hingga garing. Masukkan sosej, isi kerang dan udang tadi. Gaul rata.
  2. Tolak sedikit bahan tadi ke tepi kuali dan pecahkan telur, masak sambil mengacau telur hingga menjadi hancur. Gaul bersama bahan tadi. Tuang sedikit air dan masukkan kicap cair, sedikit gula, capsicum hijau/kuning/merah, bunga kobis dan saleri. Masak hingga sayur layu sedikit.
  3. Tuang kicap pekat dan kemudian masukkan nasi impit tadi, gaul hingga rata dan masak hingga sedikit kering. Rasa tahap kemasinannya, jika kurang tambah kicap cair. Angkat dan hias sebelum dihidangkan....

MEE SUP


Mee sup untuk bonda mat......Pagi2 dia dah suruh ayah mat sembelih ayam kampung, jenis "dara" lagi u. Jadi mat pun buatkan mee sup untuk berbuka puasa tadi.....cara masak dia mudah sama macam kaedah kuah soto yang mat masak dalam resipi2 yang lepas...jemput berbuka semua!!

Bahan Utama:-
1 ekor ayam kampung jenis "dara"
4 biji kentang, dikupas, belah 4 dan rendam
1 batang lobak merah, dikupas dan potong baji
2 camca besar rempah sup "Adabi"*
1 1/2 camca besar rempah kurma "Adabi"*
1/2 cawan air*(*disatukan dan bancuh)
2 batang serai, dititik
1 inci lengkuas, dititik
Garam dan serbuk perasa (jika suka)

Bahan Dikisar:-
6 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 inci halis
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras
1 camca teh lada hitam biji

Bahan Tumis:-
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan Lada Kicap:-
8-10 cili padi
2 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap manis

Bahan Lain:-
1 bungkus mee laksa, rendam dan celur hingga lembut
Taugeh, dicelur
Tauhu, digoreng dan potong
Kacang tanah, goreng
Hirisan daun sup/bawang
Bawang goreng

Cara membuatnya:-
  1. UNTUK SUP:- Ayam dipotong sederhana besar, perap dengan limau dan garam 15 minit, cuci dan toskan. Lumur dengan sedikit kunyit serbuk dan garam. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, tuang 1/2 cawan minyak, tumis bahan tumis hingga wangi, masukkan bahan2 kisar, bancuhan rempah serai dan lengkuas. Kacau goreng hingga terbit minyak. Masukkan ayam tadi dan gaul hingga rata dengan rempah.
  3. Tuang 2500ml air dan masak hingga ayam 3/4 lembut menggunakan api sederhana. Kemudian masukkan kentang dan lobak merah. Masak hingga kentang dan lobak empuk. Perasakan dgn garam dan serbuk perasa (jika suka). Biar mendidih lagi 5 minit. Angkat dan boleh dihidangkan. Jika kuah kurang, boleh tambah air.
  4. UNTUK LADA KICAP:- Tumbuk cili padi dan bawang putih hingga lumat. Tuang kicap dan gaul rata. Hidangkan bersama mee sup.
  5. PENYEDIAAN MEE SUP:- Dalam mangkuk, masukkan mee dan taugeh, tuang kuah bersama ketulan daging ayam, kemudian hias dengan potongan tauhu, kacang tanah, taburkan hirisan daun sup/bawang dan bawang goreng. Hidangkan bersama2 lada kicap.

Thursday, September 20, 2007

KUIH LAPIS CENDOL



Masa beli cendol hari tu, punyalah tamak sampai beli 2 bungkus..buat sebungkus pun payah nak habis...jadi oleh kerana berbaki satu bungkus lagi, mat puas fikir apa nak buat, masa pi merayau2, terjumpa resipi kak liza..."Kuih Lapis Cendol"...hmm nampak menarik, jadi mat pun mulakan operasi tadi...tapi tulah dalam gambar cutting dia tak berapa lawa sebab belum sejuk betul2...bagi sesiapa yang buat, elok biar kuih sejuk betul2, baru potong dan pasti kuih anda akan mendapat potongan badan "Marilyn Monroe"..hehehe.

Bahan Disatukan (1 cawan = 250ml) :-
1 1/2 cawan tepung gandum*
2 camca besar tepung beras*
2 camca besar tepung jagung*(*disatukan dan diayak)
1/2 cawan gula
3 cawan santan
3/4 camca teh garam

Bahan Lain:-
1/2 cawan air gula merah (1/2 cawan air panas + 3 camca besar gula merah)
1 cawan cendol
1/2 cawan air

Cara membuatnya:-
  1. Gaul dan kacau semua bahan2 disatukan hingga rata dan sebati. Tapis adunan dan bahagi 2, sama banyak.
  2. 1 bahagian dicampur dengan air gula merah, kacau sebati dan bagi 2 sama banyak. Ketepikan
  3. 1 bahagian lagi dicampur dengan cendol dan 1/2 cawan air. Kacau hingga rata dan bagi 2 sama banyak. Ketepikan.
  4. Panaskan kukusan dan lenser loyang berukuran (8 x 8 x 3)inci dengan sedikit minyak. Panaskan loyang dalam kukusan sebentar. Tuang 1 bahagian cendol dan kukus 5 minit. Kemudian tuang 1 bahagian gula merah perlahan2 (gunakan senduk sebagai perantaraan). Kukus lagi 5 minit hingga masak
  5. Lakukan lapisan seterusnya dgn 1 bahagian cendol dan kukus 5 minit dan diakhiri dengan bahagian gula merah dan kukus 10 minit. Biar betul2 sejuk sebelum dipotong...

Tuesday, September 18, 2007

PECAL



Pecal ni macam sedara mara rojak petis dan sepupu pada rojak2 di Malaysia, juga ipar-duai pada pasembo Penang dan rojak asma Johor...apa pun lah yang penting pecal nie lebih kepada orang2 Jawa (macam Mawi tuuuu....). Saja je nak menghabiskan sayur2 yang ada dalam peti sejuk dan kebetulan bonda mat dah siap2 goreng kacang tanah tadi, jadi pakcik pun buat jee lah asal boleh makan!!!!!

Bahan Kuah:-
2 cawan kacang tanah
1 camca besar asam jawa + 1/2 cawan air, ramas dan tapis jusnya
2 - 3 camca besar gula (atau lebih)
1 - 2 camca besar kicap cair
2 camca besar petis
2 camca besar cili kisar (atau boleh lebih)
1 inci ubi cekur*
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*(*dikisar halus)

Bahan Pecal:-
Kangkung, dicelur
Kacang panjang, dipatah dan celur
Taugeh, dicelur
Pucuk ubi, dicelur
Timun, dipotong kecil
Sengkuang, dipotong kecil
Tauhu, goreng dan potong dadu

Cara membuatnya:-
  1. KUAH PECAL:- Kacang tanah digoreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan, buang kulit dan tumbuk sederhana halus. Masukkan dalam satu bekas. Satukan kesemua bahan lain untuk kuah dan kacau hingga sebati. Rasa kuahnya jika kurang manis tambah gula dan jika kurang masin, tambah kicap cair. Ketepikan.
  2. PENYEDIAAN PECAL:- Dalam satu belas, ambil setiap jenis sayur dalam kuantiti yang diperlukan. Tuang kuah dan gaul hingga rata. Hidangkan sejurus digaul untuk mengelakkan pecal berair...selamat menjamu selera!!!!

CENCALOK MELAKA......



Ini baru power nya pembuka selera...makan benda alah ni dengan nasi hangat, pastu ada ikan goreng pun dah sedap...nak sedap lagi ada pulak petai atau ulam2 macam daun pegaga, ulam raja dan segala macam ulam yang boleh dimakan lahh... (lepas makan banyak sangat ulam, mulut tak boleh cakap sebab suara dan tukar..mmmbeekkkkk!!!!!...ahakss). Oleh kerana 'cencalok', makanan yang lumrah di kalangan rakyat Malaysia/Singapore. Jadi tak delah resipi, ok....cuma yang perlu ada...cencalok, hirisan bawang merah kecil, hirisan cili padi dan jus limau kasturi/nipis/lemon...itu je, budak sekolah rendah pun boleh buat!!!!

ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG

Hari ni masak asam pedas ikan sembilang, sebenarnya mat tak delah gemar sangat ikan ni. Tapi ok lah not bad, kiranya boleh telan laaa...kira sedap jugak bagi yang gemar....ke aku yang tak pandai masak ek?....

Bahan Utama:-
2 ekor ikan sembilang
2 biji terung bulat
3 kelopak sawi jeruk
1 genggam daun kesom
11/4 cawan cili kisar
1 camca besar asam jawa*
1/2 cawan air*(*disatukan, ramas dan tapis untuk jusnya)
Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)
Minyak untuk menumis

Bahan Ditumbuk Halus:-
6 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 inci belacan
1/2 camca teh halba
15 biji lada hitam

Cara membuatnya:-
  1. Ikan sembilang disiang bersih, cuci dan perap dengan limau dan garam 15 minit. Cuci kembali dan toskan. Sawi jeruk dicuci, perah dan potong sederhana besar. Terung bulat di kupas kulit, belah 4 setiap biji dan rendam dalam air garam.
  2. Dalam periuk, tuang 1/2 cawan minyak. Tumis bahan2 tumbuk hingga wangi, masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak dan garing. Tuang air, kurang lebih 700ml dan biar mendidih. Masukkan sawi jeruk dan terung.
  3. Bila mendidih, masukkan ikan tadi dan juga jus asam jawa. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa (jika suka). Biar mendidih atas api perlahan hingga ikan masak. Rasa kuahnya dan jika kurang masin boleh ditambah garam.

Monday, September 17, 2007

TUMIS SAYUR CAMPUR

Sayur campur?....sebab pelbagai jenis sayur dalam satu masakkan...saja je nak habiskan stok yang hampir luput tarikh perkhidmatannya.....jom kita campur-mencampur!!!!

Bahan-bahannya:-
1/4 ketul bunga kobis, potong kecil
1/2 biji capsicum hijau, didadu
1/2 biji capsicum merah, didadu
1/2 biji capsicum oren, didadu
7 biji candawan butang, belah dua
1 biji tomato, belah 8
1 batang saleri, dihiris menyerong
1/2 batang lobah merah, dihiris menyerong
1 biji bawang besar, dibelah 8
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/2 camca teh serbuk lada hitam
1 camca besar sos abalone/tiram
2 camca besar kicap cair
1/4 camca teh minyak bijan
1/2 cawan isi udang

Cara membuatnya:-
  1. Dalam kuali, panaskan 2 camca besar minyak masak, masukkan minyak bijan dan tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan bawang besar dan juga sos abalone/tiram. gaul hingga rata.
  2. Masukkan isi udang, lada hitam serbuk dan sedikit air, anggaran 3-4 camca besar. Kemudian, masukkan bunga kobis, lobak, saleri dan cendawan. Masak hingga sayur2 tadi empuk sedikit dan masukkan sayur2 lain. Perasankan dgn kicap cair dan gaul hingga rata.
  3. Masak hingga kuah pekat dan rasa tahap kemasinannya. Angkat dan hidangkan dgn nasi hangat...

SUP LABU DENGAN ROTI BAWANG PUTIH


Entah macam mana berbuka puasa hari ni nak makan "sup labu"..ala2 barat tu...semua orang kat rumah heran tengok apa pakcik buat....tak pelah biar orang lain heran asal kita dan diri kita tak heran dengan apa yang kita buat.....dosa ke berbuka makan ala2 orang putih?.....Tapi sedap lahhh....sekali2 makan benda alah ni....yumm yumm!!!!

Bahan-Bahannya:-
100 g labu kuning, dipotong dadu kecil
50 g batang saleri, dipotong kecil
50 g bawang besar, didadu
50 g mentega
30 ml UHT Whipping Cream
25 g tepung gandum
350 ml air
Sedikit garam, gula dan serbuk lada sulah
Hirisan parsley untuk hiasan
Beberapa keping hirisan roti perancis
1 camca besar mentega + 1 ulas bawang putih cincang

Cara membuatnya:-
  1. SUP LABU:-Dalam periuk, cairkan mentega dan tumis bawang besar hingga layu. Masukkan saleri dan labu tadi. Kacau goreng dgn mentega hingga wangi. Perlahankan api dan masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil terus mengacau hingga sebati.
  2. Tuang air dan kacau hingga rata. Masak dengan api perlahan hingga labu empuk, sambil terus dikacau. Kemudian biarkan ia suam. Masukkan dalam alat pengisar dan kisar hingga lumat.
  3. Tapis adunan tadi dan tekan dengan spatula hingga menghasilkan pati yang licin. Panaskan kembali dan kacau. Masukkan sedikit garamn, gula dan serbuk lada sulah. Masak hingga pekat. Akhir sekali masukkan UHT Whipping Cream dan kacau hingga rata.
  4. Angkat dan hidangkan dgn roti bawang putih tadi. Tabur dengan sedikit cincangan parsley sebelum menghidang.
  5. ROTI BAWANG PUTIH:- Sapu permukaan setiap potongan roti perancis tadi dengan bancuhan mentega dan bawang putih tadi. Panggang atas kuali hingga garing dan wangi...Selamat mencuba!!!!!!

ROLL SOSEJ DAN SOS UNIK


Kadang kala otak nie pun pandai penat nak berfikir pasal masak2..sapa kata kerja memasak tak memerlukan pandangan dan fikiran yang tajam?...Mereka tu semua silap...betul tak?...Tak pelah jom kita makan sambil bersenang2 kan fikiran....

Bahan-Bahannya:-
8 keping roti sandwich Gardenia (brand lain pun ok)
8 batang sosej ayam, celur 5 minit, angkat dan toskan
2 biji telur
1/2 camca teh serbuk lada sulah
2 camca besar bijan
1 camca besar tepung gandum*
Sedikit air*(*disatukan hingga menjadi pes pekat)
Minyak untuk menggoreng

Bahan Sos:-
2 camca besar mayonise
1 camca besar sos tomato
2 camca besar sos cili
1 ulas bawang putih, cincang halus
10 biji jeruk capers, dicincang halus

Cara membuatnya:-
    1. UNTUK ROLL SOEJ:- Leperkan setiap keping roti dengan torak (alat penggelek pastri) hingga leper. Ketepikan.
    2. Ambil sebatang sosej, letak dibahagian pangkal roti dan gulung hingga ke hujung, sapu degan pes tepung sebagai gam dan lekatkan roti tadi. Buat hingga habis.
    3. Dalam satu bekas, pecahkan telur, campur serbuk lada sulah dan kacau hingga rata. Celup roti gulung tadi dan golekkan dgn sedikit bijan. Goreng dalam minyak panas hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan atas paper towel. Goreng gunakan api sederhana. Potong ikut suka dan hidangkan bersama "sos unik".
    4. SOS UNIK:- Satukan semua bahan2 untuk sos dan kacau hingga rata dan sebati. Hidangkan bersama roll sosej tadi..

Sunday, September 16, 2007

LONTONG

Hari ni berbuka "lontong" selain cendol tadi tu....Satu insiden pasal lontong, bila mana pakcik menerima pemberian jiran belakang rumah dan kami bertukar2 juadah. Sekali buka tengok...ALAMAK!!!!...Lontong juga...aduh...sama laaa.... tapi tak pa lah, dia rasa pakcik punya dan pakcik rasa dia punya masakkan....kira adillah kan.....

Bahan-bahannya:-
1 biji kelapa, diparut
2 batang serai, dititik
1 biji bawang besar, dihiris halus
3 ulas bawang putih, diketul
1 inci lengkuas, diketuk
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 1/2 camca besar udang kering, rendam 1o minit, toskan dan tumbuk kasar
1 kiub ikan bilis "MAGGI"
1 cekak so hoon, dikerat
Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)

Bahan Sayur:-
1/4 biji kobis, dipotong kecil
1/2 biji sengkuang, dipotong mancis
1 batang lobak merah, dipotong mancis
10 tangkai kacang panjang, dipotong serong
2 keping tauhu, dipotong dadu sederhana besar
2 keping fucuk (tauhu kering), dipotong sederhana besar dan rendam
2 keping tempe, dipotong kecil
1/4 ketul sawi bunga, dipotong kecil

Bahan Lain:-
Nasi impit
Telur rebus
Sambal sotong (boleh rujuk sini utk resipi)
Serunding kelapa (resipi di bawah)

Cara membuatnya:-
  1. Tuang 1 cawan air dalam kelapa parut, ramas dan perah untuk santan no.1. Tuang 700ml air, ramas dan perah untuk santan no.2. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, tuang santan no.2, masukkan udang kering, kiub ikan bilis, serai, bawang besar, bawang putih, lengkuas dan serbuk kunyit. Masak hingga mendidih.
  3. Masukkan sengkuang, lobak merah, sawi bunga dan tempe, bila lembut sedikit boleh masukkan kacang panjang, kobis dan fucuk. Biar mendidih perlahan dan masukkan tauhu. Kacau perlahan. Masukkan so hoon, basuh so hoon sejurus sebelum dimasukkan ke dalam periuk. Tambah garam, sedikit gula dan serbuk perasa jika suka.
  4. Akhir sekali tuang santan no.1 dan kacau perlahan, biar mendidih perlahan. Angkat dan boleh dihidangkan bersama nasi impit, serunding dan sambal sotong.

SERUNDING KELAPA



Serunding kelapa.....selalu masa nak raya je buat...tapi sebab nak makan lontong punya pasal, gagahkan diri jugak buat serunding, tak delah susah sangat cuma rasa "malas" je buat kita rasa susah...

Bahan Utama:-
1/2 biji kelapa kulit basah (kelapa yang isinya agak muda)
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
2 camca besar cili kisar
1 camca besar jus asam jawa

Bahan Dikisar:-
5 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, diracik halus
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 1/2 camca teh ketumbar biji
1/2 camca teh jintan halus
1/2 camca teh jintan kasar

Cara membuatnya:-
  1. Parut kelapa, cuma bahagian putihnya saja. Gaul dengan serbuk kunyit dan sangai dalam kuali 1 - 2 minit untuk mengeringkan kelapa tadi. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam kuali, masukkan 2 camca besar minyak dan tumis bahan2 kisar, masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Masukkan gula (anggaran 2 camca besar) dan sedikit garam serta jus asam jawa. Kcaua hingga rata.
  3. Masukkan kelapa tadi dan gaul rata. Kecilkan api dan terus mengacau hingga serunding berderai tetapi tidak kering, maksudnya masih lembap. Angkat dan sejukkan.

CENDOL.....

Masuk blog Lydia, nampak cendol, masuk blog Jo, nampak cendol jugak!!!!...Geram pulak pakcik....jadi hari nie, berbuka makan cendol. Isi cendol pi beli kat kedai je....pakcik tak dak mood nak membuatnya....oklah, jemput makan cendol semuaaa!!!!

Bahan-Bahannya:-
600 g isi cendol
1 biji kelapa
1 ketul gula melaka
1 cawan gula pasir
2 - 3 helai daun pandan
1 cawan kacang merah dalam tin
Sedikit garam
Air batu secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. Tuang 500ml air masak dalam kelapa parut, ramas dan perah dalam satu bekas. Tuang lagi 500ml air ramas dan perah. Masukkan sedikit garam dan kacau. Ketepikan.
  2. Masak gula melaka dengan gula pasir dan 1 cawan air bersama daun pandan hingga gula hancur dan pekat. Tapis air gula tadi dan ketepikan.
  3. PENYEDIAAN:- Masukkan cendol dalam santan. Dalam gelas, masukkan kacang merah anggaran 1 camca teh, tuang air gula mengikut keperluan dan diikuti cendol tadi dan di akhiri dengan air batu. Kacau biar semua bergaul mesra sebelum diminum....


Saturday, September 15, 2007

ASAM KARI NENAS

Asam kari nenas.....sedap!!!...tekak pakcik sejak2 puasa nie macam nak makan benda "asam2" jeee..hari tu ada beli ikan pari, jadi kat rumah mat cuma sorang dua je yang suka makan, mat pun masak lah ikut selera tekak sendiri.....jomlah makan sama!!!!!

Bahan Utama:-
500 g ikan pari, potong, perap dengan limau dan garam 10 minit, cuci dan toskan
1/2 biji nenas masak ranum, buang empulur dan potong ketul2
2 kuntum bunga kantan
1 genggam daun kesum
2 keping asam gelugor
1 camca besar asam jawa + 1/2 cawan air, ramas dan tapis jusnya
1/2 cawan cili kisar
1 camca besar rempah kari ikan
Garam, gula dan serbuk perasa (jika suka)
500 ml air (atau mengikut keperluan)

Bahan Kisar:-
5 ulas bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci belacan
1 inci kunyit hidup
10 biji lada hitam

Cara membuatnya:-
  1. Dalam periuk, tuang 1/2 cawan minyak dan tumis bahan2 kisar hingga terbit minyak. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Kacau hingga rata. Tuang sedikit air dan terus menggoreng hingga rempah dan cili kering.
  2. Masukkan potongan nenas dan goreng dengan rempah. Tuang air dan masukkan asam gelugor. Bila mendidih, masukkan ikan dan bunga kantan. Tuang jus asam jawa dan masukkan garam, gula dan serbuk perasa jika suka. Kacau dan biar mendidih.
  3. Akhir sekali masukkan daun kesum dan rasa garamnya, jika kurang bolehlah ditambah. Hidangkan bersama nasi hangat dan ulam2man.

BANANA CARAMEL POUNDCAKE

Kek pisang yang sedap, tak berapa manis dan harumm...seakan2 macam kek gula hangus. Lagi sekali resipi inovatif dari yani..MR...

Bahan-Bahannya:-
120 g tepung gandum*
1 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
90 g gula pasir
50 ml minyak jagung/masak
2 biji telur gred A
1 biji pisang embun/montel
30 g gula pasir + 1 camca besar air*
2 camca besar air*(*untuk karamel)

Cara membuatnya:-
  1. Lenser acuan pouncake berukuran (7 x 5 x 20) cm dgn mentega/marjerin, alas dasar dan tepi acuan dengan kertas dan lenser juga kertas dengan mentega/marjerin. Panaskan juga oven pada suhu 175C.
  2. Pisang dipotong kecil. Ketepikan. Masak 30 g gula dengan 1 camca besar air hingga bertukar menjadi karamel. Tuang 2 camca besar air dan kacau rata. Masukkan pisang tadi, gaul rata dan biarkan sejuk.
  3. Masukkan telur, gula dan minyak ke dalam mangkuk tahan panas. Kacau hingga rata. Tenggekkan atas air mendidih dan kacau cepat hingga gula hancur. Angkat dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Kacau rata.
  4. Tuang pisang + karamel tadi dan gaul hingga rata. Curah dalam acuan dan bakar 30 - 35 minit hingga masak. Sejukkan sebelum dipotong. Simpan semalaman untuk mendapat rasa yang "mengaummm"..

LEMAK PUTIH PUCUK UBI PULUT

Lemak pucuk ubi lagi....tapi kali ni guna pucuk ubi "pulut" yang berdaun halus, rasa lemak dan lembut.....tak de nak komen apalah yang ni......

Bahan Utama:-
2 cekak pucuk ubi pulut
3 batang serai, dititik
1 biji kelapa, diparut
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk kasar
1 biji bawang besar, dihiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:-
  1. Asingkan pucuk ubi dari tangkainya, cuci dan ramas hingga lembut. Toskan . Tuang 1 cawan air dalam kelapa parut dan ramas, perah untuk santan no.1. Kemudian tuang 3 cawan air, ramas dan perah untuk santan no.2. Ketepikan.
  2. Dalam periuk masukkan pucuk ubi pulut yang diramas tadi, serai, udang kering, bawang besar hiris dan bawang putih ketuk. Tuang santan no.2 dan jerang atas api hingga mendidih. Perlahankan api dan masak hingga pucuk ubi lembut. Tambah sedikit air jika kurang.
  3. Masukkan 1 camca teh garam dan sedikit gula. Kemudian tuang santan no.1 dan biar mendidih perlahan sambil dikacau selalu. Bila pucuk ubi betul2 lembut, matikan api. Rasa kuahnya dan jika kurang masin boleh ditambah.

Friday, September 14, 2007

AIR NENAS REBUS

Hmmm...kalau tengok waktu siang, pulak2 bulan ramadan ni..pasti ada yang terliur....bayangkan dengan nenas yang manis, air batu yang nyaman...bila sampai kat tekak tu,
hmmm .."ohhh heaven" .....tak boleh pakcik nak bayangkan.....leh pingsan!!!!!!

Bahan-bahannya:-
1 biji nenas sederhana besar
1 cawan gula pasir
1 helai daun pandan disimpul
1 cawan air
Air batu secukupnya
Air masak mengikut keperluan
Setitik dua pewarna kuning

Cara membuatnya:-
  1. Nenas dikupas, belah 4, buang empulur, kemudian potong kiub sederhana besar. Kemudian masukkan nenas tadi dalam periuk, satukan gula, 1 cawan air, daun pandan dan pewarna kuning. Masak atas api sederhana 15 - 20 minit. Angkat dan sejukkan.
  2. Kemudian, dalam jag air, masukkan no. 1 tadi dan curah air mengikut keperluan. Tambah air batu..kacau biar manis serata....Lepas tu tuang dalam gelas dan boleh leer...belasah!!!!

IKAN MASAK CUKA RINGO

Dah lama mat nak cuba masakkan unik kak hani nie....puas dah tergolek sana, tergolek sini, akhirnya hari ni dalam sejarah...mat terus menyelongkar khazanah dalam peti sejuk dan cuba buat...rasa memang unik dan ikan tu lembut sampai ke tulang...cuma sini mat nak bagi tau, teknik memasak, kami gunakan periuk tekanan..jadi kalau masak dalam keadaan biasa, mungkin hasilnya lain..harap maklum semuaa.....

Bahan Utama:-
2 ekor ikan kembong (boleh guna ikan tamban sardine, guna 4 ekor)
1/2 camca teh lada sulah
1/2 camca teh garam

Bahan Sayur:-
1 biji tomato, didadu
1/2 biji bawang besar, dihiris
1/2 batang lobak merah, dipotong mancis
1/2 batang saleri, dipotong mancis
3 keping cendawan shitake kering, rendam dalam air panas hingga lembut, hiris nipis
1 ulas bawang putih, dihiris halus
1/2 cm halia, dihiris halus
1/2 camca teh herba thyme

Bahan Lain:-
2 camca besar cuka epal (cider vinegar)
2 camca besar minyak zaitun
4 - 5 helai daun selasih/basil

Cara membuatnya:-
  1. Dalam periuk tekanan, susuh semua bahan sayur, letak ikan atas sayur2 tadi dan tabur dengan lada sulah dan garam. Curah cuka epal tadi (mat tambah 2-3 camca besar air lagi), kemudian tutup periuk tekanan dan masak atas api. Bila wap keluar, kecilkan api dan biar masak perlahan umtuk jangka masak 15 minit. Tutup api dan biar hingga wap reda dan tekanan dalam periuk longgar.
  2. Keluarkan ikan. Panaskan balik kuahnya, tambah minyak zaitun dan daun selasih. Rasa garam dan lada sulah, jika kurang boleh tambah. Masak hingga kuah pekat dan boleh curah atas ikan sebelum dihidang. Yum..yumm..
  3. PERINGATAN:- Teknik memasak menggunakan periuk tekanan bergantung jenis periuk masing2, baca panduan sebelum memasak...harap maklum!!!

ASAM BATANG KELADI


Cuaca kejap panas, kejap mendung...tekak pun ikut sama macam cuaca...hari nie berbuka teringin sangat nak makan "asam batang keladi"....jadi, ayah mat pun pi lah cabutkan pokok keladi sayur kat kebun kami. Bonda mat dengan gigihnya menyiang dan mencelur sekali batang keladi tu...jadi...mat tinggal masak jee lahh...heheh senang keje pakcik!!!

Bahan Utama:-
1 pokok keladi sayur
4 - 5 ekor ikan masin selar kuning (boleh guna apa2 ikan masin kegemaran)
1 genggam daun selasih/basil
3 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar:-
6 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 batang cili merah
1 camca besar ikan bilis (atau 1 ketul kiub ikan bilis "MAGGI")

Cara membuatnya:-
  1. Batang keladi, dibuang kulit luar, kerat2 anggaran 4 inci. Rebus bahagian ubi dahulu hingga 3/4 empuk baru dimasukkan batangnya bersama 1 keping asam gelugor. Celur 1 - 2 minit. Angkat dan toskan.
  2. Dalam periuk. Tuang 2 camca besar minyak masak. Tumis bahan kisar hingga terbit minyak. Tuang air (anggaran 700ml) dan biar hingga mendidih. Masukkan ikan masin dan baki asam keping.
  3. Kemudian masukkan batang keladi dan keladi yang telah dicelur tadi. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Bila mendidih, masukkan daun selasih/basil dan padamkan api. Rasa tahap kemasinannya.
  4. Jangan bubuh garam awal2 kerana ikan masin tadi boleh menyebabkan kuah mejadi masin.

Thursday, September 13, 2007

KUIH BAKAR MEKAR MEWANGI

Resipi kuih bakar yang sedap, harum, lemak..pendek kata semua yang orang2 tua zaman dulu kala inginkan semua terkandung dalam kuih bakar nie...resipi dari "joayee"........rugi kalau tak cuba....pakcik buat untuk sedekah kat jiran2 dan sendiri balun.....lupa sat pasal kolestrol!!!!!

Bahan-bahannya:- (Guna cawan yang berisipadu 250ml)
1 cawan gula
1 cawan jus panda (kisar 5-6 helai daun pandan dgn 250ml air dan tapis)
2 cawan tepung
2 1/4 cawan pati santan
3 biji telur gred A
1/2 camca teh garam
2 camca besar mentega, dicairkan
Sedikit pewarna hijau
Bijan (jika suka)

Cara membuatnya:-
  1. Satukan semua bahan2 diatas kecuali bijan dalam satu bekas. Kacau dengan wisk hingga semua larut. Tapis adunan.
  2. Dalam acuan yg digemari, lenser sedikit mentega dan panaskan dalam oven untuk 2 - 3 minit. Oven telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180C.
  3. Keluarkan acuan dan curah adunan tadi. Tabur bijan dan bakar kembali dalam oven selama 30 - 35 minit hingga masak dan permukaan kuih bakar kuning keemasan. Kuih ni sedap kalau ada sedikit kerak. Sejukkan sebelum dipotong..

SOTONG GORENG KUCAI

Hari pertama berpuasa...semuanya berjalan lancar...tapi bila sampai bab nak masak...mulalah macam kepala otak "jam" teruk....rasa macam nak berbuka "Maggi" je...tapi takkan nak bagi family makan maggi sama...jadi pi selongkar dalam peti sejuk, ada lagi rupanya sotong, satu bungkus...pakcik pun terus lah mencipta resipi gila2 nieee...tapi ok laa..not bad!!!

Bahan-Bahannya:-
500 g sotong, dibersihkan, potong ikut suka*
1 camca teh garam*
1/2 camca teh serbuk lada hitam*
1 camca besar serbuk kunyit*(*disatukan dan perap 20 minit)
1 camca besar sos abalone/tiram
1 - 2 camca besar kicap cair
1 cekak kucai, dicuci, keringkan dan dikerat2 1 inci
Sedikit serbuk perasa (jika suka)

Bahan Tumis:-
1 biji bawang besar, dimayang
2 ulas bawang putih, dimayang halus
1 inci halia, diketuk
1 biji lada merah, dihiris
1 biji lada hijau, dihiris

Cara membuatnya:-
  1. Dalam kuali, panaskan 2 camca besar minyak masak, masukkan semua bahan2 tumis dan masak hingga semua layu dan wangi. Masukkan sos abalone/tiram, gaul rata.
  2. Masukkan sotong dan masak hingga sotong kecut dan kuah pekat sedikit. Masukkan kicap cair (sedikit dahulu), kemudian rasa dan jika kurang masin, tambah kicap cair lagi. Tabur serbuk perasa (jika suka) dan gaul rata.
  3. Akhir sekali masukkan kucai dan gaul hingga rata. Masak untuk 1 minit lagi dan angkat, Tabur dengan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama nasi hangat.

Wednesday, September 12, 2007

RENDANG AYAM SERAI


Ayam....bermacam ayam...ada "ibu ayam", "anak ayam", "bapak ayam"...ahakss...Tapi yang ni genuine kampung mari...ayam jenis sopan santun, tak pakai mini skirt okkk!!!...Jom sama2 kita masak rendang ayam kampung....

Bahan-Bahan Utama:-
1 ekor ayam kampung (kurang lebih 2kg)
1 biji kelapa parut
2 keping asam gelugor
3 helai daun kunyit, dimayang
3 camca besar kerisik
2 camca besar gula melaka
3 - 4 camca besar cili kisar
4 camca besar serbuk kari daging
Garam dan serbuk perasa (jika suka)

Bahan Dikisar Halus:-
10 ulas bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
6 biji cili padi (nak menyengat, boleh tambah)
3 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
1 inci belacan
3 biji buah keras
7 batang serai, hiris halus

Bahan Tumis:-
4 ulas bawang merah kecil, dihiris halus
2 ulas bawang putih, dihiris halus
1 batang kayu manis
4 kuntum cengkih
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Cara membuatnya:-
  1. Ayam kampung dipotong ikut suka (jgn terlalu besar), cuci bersih dan gaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Ketepikan. Tuang 1 cawan air dalam kelapa parut, ramas dan perah untuk santan pekat. Tuang lagi 3 cawan air, ramas dan perah untuk santan cair. Ketepikan.
  2. Dalam kuali tuang kurang lebih 1 1/2 cawan minyak, masuk bahan tumis bila minyak panas dan tumis hingga wangi. Masukkan bahan2 kisar, cili kisar dan serbuk kari daging. Kacau hingga rata, tambah sedikit air jika pekat. Masak atas api sederhana hingga rempah wangi dan terbit minyak.
  3. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar ayam kecut dengan rempah 10 minit. Tuang santan cair dan biar mendidih. Masukkan 1- 2 camca teh garam, kacau rata. Kemudian masukkan pati santan dan biar hingga ayam 1/2 empuk. Tambah air jika ayam masih keras.
  4. Masukkan kerisik, asam gelugor dan gaul rata. Rasa garamnya jika dalam peringkat ini rasa agak kurang masin, tak payah letak garam lagi kerana bila rendang kering, garamnya pun dah ok.
  5. Masak hingga kuah pekat, masukkan gula melaka dan serbuk perasa (jika suka), gaul rata dan masak hingga ayam empuk. Masukkan hirisan daun kunyit dan gaul rata. Jika suka rendang ayam lembap, boleh lah diangkat dan jika suka kering, masak lagi hingga kering, gunakan api perlahan.
  6. KAEDAH LAIN:- Mat selalu masak rendang ni guna pressure cooker (periuk tekanan). Kaedah menumis semua sama, tapi buat dalam periuk tekanan tadi. Masukkan ayam gaul, bubuh garam dan santan cair, anggaran tenggelam ayam. Tutup periuk dan biar hingga wap keluar. Kemudian kecilkan api dan masak utk 10 - 15 minit (bergantung pada "usia" ayam). Lepas tu, bila tekanan dalam periuk tu reda, curah dalam kuali, tuang santan pekat dan renih sampai kering....mcm biasa. Teknik memasak bergantung pada panduan periuk tekanan masing2 yeaa!!!..Oh ye..lupa nak pesan...kata mak mat, ayam kampung "jantan" lagi enak kalau dibuat rendang atau kari sebab daging dia pejal, ayam "betina" paling sedap dibuat sup....

APAM YOGURT

Tragedi apam yogurt "yani".... Petang tadi, tiba2 teringin nak cuba resipi apam yogurt...jadi pakcik dengan gigihnya mencuba lahh...TIBA2!!!!.....aisey boleh silap bubuh pewarna, nak letak hijau, terrrrrbubuh kaler merah...hmm dah jadi macam apam "ehem ehem".....apa nak buat, dah leer tu timbul pulak macam ruam2 kat apam tu, ruam lampin kot...hentam saja laahh labuuuu!!!!

Bahan-Bahannya:-
2 biji telur gred A
50 g gula
100 g plain yogurt
1/2 camca teh esen vanilla
150 g tepung gandum*
1 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
1 camca makan minyak jagung/masak

Cara membuatnya:-
  1. Pukul telur dengan gula hingga kembang dan gebu. Masukkan yogurt, minyak masak dan esen vanilla. Pukul lagi.
  2. Perlahankan speed. Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Gaul rata. Ceduk adunan ke dalam acuan pilihan 3/4 penuh. Kukus atas air mendidih 20 - 25 minit.
  3. Kalau suka, boleh juga diisikan dgn apa2 inti pilihan sebelum mengukus...

Tuesday, September 11, 2007

CHAR KUEY TEOW


CHAR KUEY TEOW!!!!....ini semua gara2 tak tahan tengok Noreen letak gambar kuey teow goreng kat blog dia (resipi asal boleh dapat kat sini)....dengan gigihnya pakcik menggoreng juga petang tadi nie...memang sedap laaa!!!!

Bahan-Bahannya:-
500 g kuey teow
300 g udang, dibersihkan
200 g kerang (mat tak bubuh sebab tak de stok)
150 g taugeh
1 cawan isi ayam*
1/2 camca teh serbuk lada sulah*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan perap 10 minit)
1 cekak kucai, cuci bersih dan kerat2
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 keping fishcake, dihiris halus
3 biji telur
2 camca makan cili kisar
Sedikit daun bawang, dipotong2
Bawang goreng, jika suka

Bahan Sos:-
2 camca besar sos tiram
2 camca besar sos tomato
2 camca besar sos cili
2 camca besar kicap manis
3 - 4 camca besar kicap cair

Cara membuatnya:-
  1. Dalam kuali panaskan minyak dan goreng telur, hancur2kan dan tolak ke tepi. Masukkan daging ayam, udang, kerang (jika ada) dan fish cake, goreng sekejap dan tolak ke tepi kuali.
  2. Tuang sedikit lagi minyak, tumis bawang putih hingga wangi, masukkan cili dan goreng hingga garing, masukkan bahan2 sos dan gaul hingga rata bersama kesemua bahan yg ditolak ke tepi kuali tadi.
  3. Masukkan kuey teow dan gaul hingga rata. Masukkan kucai dan taugeh tadi, gaul hingga mesra. Rasa garamnya, jika kurang boleh ditambah lagi kicap cair. Bila masak, angkat dan taburkan bawang goreng dan hirisan daun bawang. Hidangkan bersama cili jeruk, hirisan timun dan tomato.

Monday, September 10, 2007

KEK COKLAT



Rasa macam dah tak de mood....semua pasal "kek coklat" niee.....nyaris2 hangus rentong, tah macam mana boleh terlelap....aduhhh!!!, nasib baik boleh dibedah plastik...oklah...kalau rasa macam ter"sudi" hendak mencuba...silakan lah. Untuk kaedah langkah demi langkah boleh rujuk disini.....

Bahan-Bahannya:-
250 g tepung gandum*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
5 bii telur gred A
250 g coklat susu, dicairkan mengguna kaedah double-boiler, biar sejuk sedikit
160 g gula halus
15 g ovallate
225 g minyak jagung
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam

Bahan Hiasan:-
200 g coklat masakkan
100 ml whipping cream
1 camca teh mentega
Chocolate curls secukupnya

Cara membuatnya:-
  1. UNTUK KEK:-Pukul telur, gula,esen vanilla dan ovallate hingga kembang dan gebu, seperti adunan baulu. Masukkan coklat susu dan garam, terus memukul hingga sebati.
  2. Perlahankan speed mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Masukkan minyak jagung dan gaul hingga sebati.
  3. Tuang dalam acuan berlubang tengah yang telah disapu dengan mentega dan ditabur sedikit tepung. Bakar dalam oven pada suhu 170C selama 30 - 35 minit. Sejukkan kek sebentar dan keluarkan dari acuan. Sejukkan atas redai.
  4. UNTUK GANACHE:- Dalam bekas tahan panas, satukan coklat masakan dan whipping cream. Tenggek bekas tadi atas air mendidih dan kacau hingga coklat cair. Masukkan mentega dan kacau hingga sebati. Angkat dan biar suam sedikit dan tuang atas kek tadi, biar meleleh. Bila coklat sejuk, boleh hias dengan chocolate curls sebagai hiasan tambahan.

Sunday, September 9, 2007

TOFU HALIA RANGUP

Resipi asal dari "Amy Beh" tapi mat dah ubahsuai sedikit, tapi rasa masih ok. Saja nak habiskan saki-baki ayam yang ada dalam freezer...Jemput lah makan, tambah nasi lagi!!!!!

Bahan Utama:-
3 keping tauhu, potong 4 setiap keping
1 cawan daging ayam*
1/2 camca teh lada sulah*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan perap 10 minit)
2 camca besar halia yang dimayang halus2
15 - 20 helai daun selasih

Bahan Hiris:-
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 cm halia

Bahan Sos:-
1 camca teh "Hoisen Sos"
1 camca besar sos "Abalone"/"Oyster"
3 camca besar air
1 camca teh kicap cair

Cara membuatnya:-
  1. Panaskan minyak untuk goreng terendam, goreng tauhu hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Goreng pula halia yang telah dimayang halus hingga garing. Angkat dan toskan. Goreng pula daun selasih hingga garing. Angkat dan toskan.
  2. Cedok keluar minyak dari kuali hingga tinggal 2 camca besar. Tumis bahan2 dihiris hingga wangi dan perang. Masukkan ayam tadi dan kacau goreng hingga ayam masak, gunakan api sederhana.Kemudian masukkan bahan sos dan kacau rata.
  3. Bila mendidih masukkan tauhu goreng tadi dan kacau hingga mesra. Masukkan sebahagian gorengan halia dan daun selasih tadi. Gaul rata. Rasa garamnya dan jika kurang boleh ditambah. Angkat dan hias dengan lebihan halia dan daun selasih tadi.

Saturday, September 8, 2007

AYAM GOLEK CILI PADI

Ayam golek cili padi oleh "Kak Pah" atau nama glamour masa jadi artis "Sherry_Mz"...kelas lahhh!!!!

Bahan Utama:-
1 ekor ayam sederhana besar
2 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, disimpul
1/2 ketul kiub ayam "MAGGI"
2 cawan santan pekat
Garam dan gula (jika perlu)

Bahan Kisar Halus:-
10 - 15 biji cili padi
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah kecil
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 ulas bawang putih (resipi asal tak da)

Cara membuatnya:-
  1. Belah sedikit ayam di bahagian dada supaya bahagian dalam ayam masak rata, bersihkan dan tos. Ayam tidak payah di potong.
  2. Dalam kuali yang agak besar (boleh muat seekor ayam), masukkan santan, bahan2 kisar, serai dan daun kunyit. Masukkan kuib pati ayam, sedikit garam dan gula. Biar mendidih.
  3. Masukkan ayam tadi dan kecilkan api. Masak ayam atas api perlahan hingga kuah pekat. golek2kan ayam setiap 5 minit.
  4. Kemudian, jika suka, keluarkan ayam tadi dan panggang dalam oven pada suhu 200C selama 10 - 15 minit hingga keperangan. Hidangkan bersama lebihan kuah tadi sebagai sos.

Friday, September 7, 2007

TUNA CHEESE MUFFIN

Tadi jengah2 kat MyResipi, sekali terpandang 'Tuna Cheese Muffin"...oleh yani. Kebetulan dalam pantry semua bahan2 ada, apa lagi dengan tergede2nya pakcik membakar muffin ni. Hasil dia memang sedap lah!!!

Bahan-Bahannya:-
1 biji telur gred A
1 1/2 camca teh gula halus
1 camca teh baking powder*
120 g tepung gandum*(*digaul dan diayak)
80 g ikan tuna dalam tin (tak perlu toskan minyaknya)
50 ml susu segar
50 g keju mozarella
1 biji bawang putih, dicincang halus (resipi asal tak de benda ni!!!)
Secubit garam

Cara membuatnya:-
  1. Dalam satu bekas, pecahkan telur, masukkan gula, cincangan bawang putih dan garam, kacau menggunakan wisk hingga sebati dan gula hancur. Masukkan ikan tuna dan gaul hingga rata.
  2. Masukkan tepung yang tepung tadi berselang seli dengan susu hingga habis. Gaul mozarella cheese ke dalam adunan hingga rata.
  3. Sudukan ke dalam acuan muffin 3/4 penuh dan bakar pada suhu 180C, selama 15 - 20 minit. Sejukkan sebelum dihidangkan bersama cili sos. Menghasilkan lebih kurang 9 ketul muffin.

SINGGANG IKAN

Jom makan singgang ikan!!!....semalam dah nasi lemak yang kolestrol dia berlipat kali ganda, jadi hari ni pekena pulak singgang ikan yang sedap, sihat dan paling utama kurang sangat kolestrol dia..

Bahan-Bahannya:-
1 ekor ikan senangin (atau apa2 ikan yang ada dipasaran)
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
2 keping asam gelugor
1 kiub ikan bilis "MAGGI"
Garam dan gula (jika suka)
1 liter air

Bahan Lain:-
1 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, diketuk
2 batang serai, diketuk
5 - 6 biji cili padi, dibelah dua
2 inci kunyit hidup, diketuk
1 inci halia, diketuk

Cara membuatnya:-
  1. Dalam periuk, tuang 1 liter air dan masukkan bahan2 lain, kiub ikan bilis dan asam gelugor. Masak hingga mendidih.
  2. Masukkan ikan. Perisakan dgn sedikit garam dan gula. Biar mendidih 3 - 4 minit dan masukkan tomato, masak sekejap dan rasa tahap kemasinan kuahnya. Tambah garam jika perlu.
  3. Boleh dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman yang digemari.